• Who We Are
  • What We Do
  • Reports
  • Collaborate With Us
Our Projects

Media: Berita Harian Online

 

Section: Nasional

Syarikat korporat tempatan membuktikan komitmen mereka dalam membantu masyarakat yang terjejas dengan bencana khususnya banjir yang sedang melanda negara kini melalui inisiatif Hero Meals oleh Kembara Kitchen.

 

Sejak awal tahun ini, Yayasan CIMB bekerjasama rapat dengan kumpulan sukarelawan Kembara Kitchen untuk menghasilkan Hero Meals yang kini disalurkan kepada mangsa banjir di seluruh negara, dari utara Kedah hingga ke Johor, serta di pantai timur dan Sabah.

 

Hari ini, Kembara Kitchen menghantar 3,000 lagi pek Hero Meals yang siap dimakan (RTE) ke Segamat, Johor, untuk membantu mangsa banjir di kawasan terbabit.

 

Set makanan terbabit termasuk nasi putih dengan kari sayur, Laksa Johor, Spaghetti Bolognaise, Nohutlu Tavuk (menu Nasi Palestine) Nasi Lemak Sotong, Nasi Basmathi dan Kari Ayam yang pasti memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang terjejas.

 

Sebelum ini, Briged Sukarelawan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah mengambil bahagian dalam penghasilan Hero Meals.

 

Kumpulan pelajar dari UiTM cawangan Segamat, Johor itu hadir sendiri ke Kembara Kitchen di sini untuk membantu menyediakan 1,000 pek Hero Meals.

 

Ironinya, hari ini mereka antara penerima bantuan terbabit kerana mereka sendiri adalah mangsa banjir yang sedang melanda di Johor kini.

 

William Cheah, pengasas Kembara Kitchen berkata tanpa sokongan dari pihak korporat seperti Yayasan CIMB tahun ini, kumpulan tidak akan dapat mencapai apa yang telah dilakukan sepanjang tahun ini.

 

"Kami telah menyerahkan bantuan makanan RTE hampir ke seluruh Malaysia kecuali Sarawak, dan kami juga sedang dalam proses menubuhkan pusat retort Hero Meals di Kota Kinabalu di Sabah dan Miri di Sarawak," katanya kepada BH.

 

Beliau berkata kerjasama dengan Yayasan CIMB bukan sekadar bantuan kewangan.

 

"Mereka (CIMB) juga menghantar pegawai mereka untuk terbabit secara langsung dalam usaha ini.

 

"Mereka benar-benar memahami keperluan kami dan menunjukkan sikap peduli yang mendalam terhadap situasi semasa," katanya.

 

Yayasan CIMB terus mengukuhkan komitmennya untuk membantu masyarakat yang terjejas, dan usaha mereka dalam menjayakan program Hero Meals adalah contoh jelas mengenai bagaimana kolaborasi yang erat dapat memberikan impak positif yang besar dalam menghadapi cabaran yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

 

Lebih membanggakan Kembara Kitchen telah diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

 

Pengiktirafan itu memudahkan semua pihak dan Kembara Kitchen menegaskan makanan yang dihasilkan oleh mereka adalah sesuai untuk semua peringkat umur, agama dan bangsa.


#CIMBFoundation

You may also like