• Who We Are
  • What We Do
  • Reports
  • Collaborate With Us
Our Projects

Media: My METRO

 

Section: Sukan Lain

Kuala Lumpur: CIMB Group (CIMB) kekal komited dalam membangunkan dan melestarikan sukan tanah air terutamanya menjadi sebahagian daripada keluarga Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro yang diadakan pada 8 Januari lalu.

 

Pembabitan CIMB sebagai penaja bersama dalam merancakkan arena sukan negara bukan sesuatu yang asing.

 

Malah, ia selaras dengan hala tuju CIMB dalam memperkasakan inisiatif yang memberikan impak positif untuk jangka masa panjang bagi kelompok masyarakat serta industri sukan.

 

Komitmen CIMB sebagai institusi kewangan yang bertanggungjawab turut diperkuatkan lagi menerusi penajaan atlet dalam memastikan impian mereka untuk berjaya di peringkat lebih tinggi tercapai.

 

Sebelum ini, bekas ratu skuasy Datuk Nicol David dilantik duta jenama CIMB pada 2006 sehingga 2017.

 

Sejak tiga tahun lalu, jaguh berbasikal negara dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo serta gangsa di Sukan Olimpik Rio, Datuk Azizulhasni Awang dilantik sebagai duta jenama CIMB.

 

Atlet muda skuasy negara, Harleein Tan juga atlet yang ditaja oleh CIMB bermula tahun ini. Beliau memegang ranking pertama dalam Kedudukan Ranking Junior Asia pada Disember 2021.

 

Jaguh muda sukan skuasy tersebut mula berjinak dalam sukan terbabit sejak berusia lima tahun dan mengharumkan nama negara dengan menjuarai pelbagai pertandingan skuasy di peringkat antarabangsa semenjak 2017.

 

Di samping menyokong jaguh sukan ternama, CIMB juga menaja acara sukan penyertaan beramai-ramai untuk memupuk budaya sihat dalam kalangan masyarakat.

 

Salah satunya adalah The Music Run by CIMB yang dianjur pada Disember lalu di Bukit Jalil, di mana ia mendapat sambutan hangat dengan penyertaan hampir 20,000 peserta.

 

Selain itu, CIMB juga menganjur program berbasikal CIMB Cycle pada 2017 sehingga 2019 di Seri Menanti, Negeri Sembilan, Litar Antarabangsa Sepang dan Dataran Putrajaya.

 

CIMB juga pernah menyokong bola sepak tanah air melalui penajaan Liga Malaysia pada 2020 membabitkan Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.

 

Tambahan lagi, CIMB melalui tanggungjawab sosial korporatnya, CIMB Foundation juga memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan pembangunan sukan untuk atlet muda di Malaysia menerusi pelbagai inisiatif bagi sukan bola sepak, skuasy, berbasikal, gimnastik dan paralimpik.

 

Inisiatif seperti ini bertujuan menyokong program pembangunan akar umbi bagi memastikan bakat baharu dapat dilahirkan terus mengharumkan nama negara pada masa akan datang.

 

CIMB akan terus komited dalam menyokong arena sukan tanah air pada masa akan datang, selari dengan proposisi penjenamaan bank terbabit, iaitu 'Melangkah Ke Hadapan Bersama'.


#CIMBFoundation

You may also like