• Who We Are
  • What We Do
  • Reports
  • Collaborate With Us
Our Projects

Media: My Metro

 

Section: Mutakhir

Ipoh: Mencurahkan tenaga dan keringat, demi memastikan kebajikan golongan memerlukan seperti wanita dan kanak-kanak asnaf terbela sentiasa menjadi keutamaan Pertubuhan Wanita Prihatin Perak (PWPP).

 

Setiausahanya, Norzita Arbaai, berkata badan bukan kerajaan (NGO) itu sudah bergiat aktif dalam arena kebajikan khususnya di Perak melalui 18 program atau inisiatif sejak ditubuhkan pada 2015 dengan lebih 4,450 penerima manfaat, setakat ini.

 

Menurutnya, antara tumpuan awal penubuhan PWPP adalah pelaksanan Pasar Percuma secara berkala di kawasan luar bandar dan perumahan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang menawarkan barang terpakai yang masih baik secara percuma seperti pakaian, buku, peralatan eletrik serta program Ziarah Amal Luar Bandar.

 

Selari perkembangan dan penambahan ahli, Norzita berkata PWPP mengembangkan lagi khidmat kebajikan mereka dengan program seperti baikpulih Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan (SK) Lintang di Sungai Siput yang dilanda banjir, bantuan makanan semasa pandemik Covid-19 serta sumbangan 'ad-hoc' kepada komuniti yang menghadapi kesempitan hidup.

 

Beliau menambah, Program Dapur Amal adalah projek antara projek jangka panjang pernah dilaksanakan membabitkan pembiayaan makanan untuk pelajar asnaf dan miskin dengan purata pendapatan keluarga antara RM500 hingga RM600 sebulan.

 

"Program ini berkonsepkan sumbangan makanan bermasak kepada pelajar kurang berkemampuan yang dikendalikan oleh pihak Sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

 

"Penerima manfaat daripada program Dapur Amal ini adalah 30 pelajar Sekolah Menengah Sultan Tajul Ariffin, Manong di Kuala Kangsar selama enam bulan bermula 1 Mac 2019 hingga 30 September 2019 lalu," katanya.

 

Norzita berkata PWPP berazam tinggi bukan sekadar memberikan bantuan berbentuk sekali beri, namun ingin membangunkan golongan wanita yang berkemahiran melalui latihan supaya mereka dapat meningkatkan pendapatan keluarga masing-masing.

 

Beliau berkata, pada tahun lalu, PWPP menaja 10 suri rumah daripada keluarga B40 untuk mengikuti Women Empowerment Programme (WEMAP) Ejen2U di mana kelompok itu diajar meniaga tanpa modal dengan menjadi 'dropshipper' kepada produk syarikat tempatan.

 

Selain itu, pada tahun ini PWPP melatih 20 wanita asnaf dalam bidang urutan dan rekfleksologi dengan pembiayaan Yayasan CIMB dan tenaga pengajar dari Humaira Training Centre.

 

"Latihan ini dipantau selama enam bulan dan peserta turut dibimbing tentang pengurusan kewangan dari pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaya (UM).

 

"Hasilnya, boleh menambah pendapatan mereka sekitar RM1,500 ke RM2,000 sebulan," katanya.

 

Tambahnya, ketika ini pihaknya sedang melaksanakan kursus perniagaan digital, pastri, pembuatan kek dan penjajaan makanan tradisi Malaysia dengan kerjasama Universiti Antarabangsa UNITAR.

 

Usaha yang dimainkan oleh NGO wanita ini menyokong flagship ketujuh dalam pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 iaitu Program Menyantuni Golongan Rentan cetusan idea Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

 


#CIMBFoundation

You may also like