19 July 2018

Yayasan CIMB Sokong Projek Pertanian Bandar
Media Title: Utusan Malaysia
Section: Dalam Negeri
KUALA LUMPUR 18 Julai – Yayasan CIMB menyokong inisiatif 'hijau' menerusi projek Zero Waste & Urban Farm yang memfokuskan usaha kitar semula makanan organik ke dalam bentuk kompos yang boleh dimanfaatkan untuk sektor pertanian.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin berkata, pihaknya berbesar hati menyokong projek pembangunan pertanian bandar yang selari dengan hasrat yayasan berkenaan.

Jelasnya, projek berkenaan dibiayai pihaknya menerusi program Community Link dengan kerjasama Axile Consulting Sdn. Bhd.

"Sejak Yayasan CIMB menubuhkan program Community Link pada 2007, kakitangan kami berjaya memacu kejayaan dalam program berkaitan melestari alam.

"Program ini juga menggalakkan mereka memperkasa isu masyarakat setempat yang memberi manfaat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Hamidah merasmikan program tersebut di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tun Dr. Ismail l (TTDI l) yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Komersial Kumpulan CIMB, Ahmad Shazli Kamarulzaman dan Pengarah Urusan Axile Consulting Sdn. Bhd., Azlan Yaacob.

Menurut Hamidah, menerusi projek 'Zero Waste & Urban Farm' itu, kakitangan dan penduduk setempat boleh membuang sisa makanan organic menerusi mesin pengkomposan yang boleh menghasilkan baja kompos dalam masa 24 jam.

"Mesin berkenaan akan ditempatkan secara kekal di sekolah ini. Sebelum ini ia ditempatkan di Masjid At-Taqwa dan balai polis Taman Tun Dr. Ismail dengan 15 kilogram kompos diperoleh untuk manfaat penduduk," katanya.
All rights reserved. Copyright © 2018 CIMB Foundation (795634-H).

Follow Us

Ooops!
Generic Popup