17 November 2017

Yayasan CIMB, JCM gilap bakat muda sukan berbasikal
Media Title: Kosmo
Section: Sukan
YAYASAN CIMB kelmarin mengumumkan kerjasama dengan Junior Cycling Malaysia (JCM) untuk tempoh tiga tahun (2018-2020) bagi memupuk bakat muda dalam sukan berbasikal melalui Program Pembangunan CIMB-JCM Junior. 

Sokongan daripada Yayasan CIMB akan membantu bakat JCM membina saluran untuk mencari dan mendidik calon juara dari umur tujuh tahun untuk menjadi pelumba elit secara berstruktur dan sistematik. 

Yayasan itu juga akan menaja skuad lapan anggota untuk Jelajah Australia yang dijadualkan pada bulan depan dan perlumbaan dalam satu siri kejohanan trek dan jalan raya selama sebulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin berkata, belia mewakili kumpulan benefisiari utama di bawah program Yayasan CIMB kerana mereka mewakili harapan masa depan.

"Kami sangat teruja dengan kerjasama bersama JCM kerana ia menyokong fokus yayasan kepada projek mampan dengan memberi impak berkekalan kepada penerima manfaat kami. Kami yakin bahawa kerjasama dengan JCM akan mewujudkan saluran bakat yang mantap untuk juara berbasikal Malaysia pada masa depan," katanya.

Program Pembangunan CIMB-JCM Junior dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Turut hadir Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

JCM adalah satu inisiatif dikendalikan oleh Kementerian Belia dan Sukan serta MSN untuk membangunkan sukan berbasikal di Malaysia di semua peringkat, daripada mereka yang mula belajar kepada juara berbasikal, serta untuk mengikut jejak langkah pelumba trek kebangsaan, Azizulhasni Awang.

JCM yang ditubuhkan pada April 2016 telah menganjurkan 13 kejohanan kriterium, tiga perlumbaan jalan raya, satu trek dan satu kejohanan BMX selain klinik kemahiran berbasikal di sekolah terpilih untuk menggalakkan aktiviti berbasikal selamat serta mengasah bakat baharu. - Bernama
All rights reserved. Copyright © 2018 CIMB Foundation (795634-H).

Follow Us

Ooops!
Generic Popup