9 July 2018

Rawatan unik terapi berkuda
Media Title: Harian Metro (Johor)
Section: News
Terapi berkuda mampu membantu pesakit cerebral palsy (CP) terutama kanak-kanak membina keyakinan diri. 

Pengerusi Yayasan Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) Datin Suliana Shamsuddin Alias berkata, ia teknik terbaik untuk merangsang deria dan keyakinan pesakit istimewa itu.

Berikutan itu, katanya, YOKUK menawarkan khidmat terapi berkenaan secara percuma kepada setiap pesakit memerlukan. 

“Setiap pesakit akan menaiki kuda antara setengah hingga satu jam sehari, mengelilingi trek di pejabat YOKUK.

“Terapi ini bermanfaat untuk menguatkan tulang belakang pesakit apabila berlaku hentakan badan pesakit dengan badan kuda.

“Kita adakan perkhidmatan terapi ini setiap hari secara percuma, selain terapi lain yang mampu mengaktifkan OKU atau pesakit strok supaya dapat berdikari, ” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis Pelancaran Penajaan Terapi Berkuda Yayasan CIMB yang disempurnakan Pengarah Wilayah Yayasan CIMB Ooi Gek Chu di sini, semalam.

Sementara itu, ibu kepada kanak-kanak CP berusia tiga tahun, Salina Saffin, 37, berkata anaknya, Suhail Uwais Sabaruddin menunjukkan perubahan selepas menyertai terapi berkuda itu.

Menurutnya, anak bongsu daripada tiga beradik itu dilahirkan sempurna tetapi tumbesarannya terencat selepas demam panas dan koma tiga hari.

Katanya, dia mendaftar anaknya menyertai fisioterapi di klinik swasta untuk tempoh bermula tiga bulan ingga setahun tetapi tidak mampu disebabkan kos yang tinggi.

“Ketika hampir putus asa, suami (Sabaruddin Hassan Basri, 38) mengesyorkan kami mencuba rawatan fisioterapi di YOKUK yang diberi secara percuma dan kini tumbesarannya menunjukkan perubahan terutama selepas menyertai terapi berkuda,” katanya.
All rights reserved. Copyright © 2018 CIMB Foundation (795634-H).

Follow Us

Ooops!
Generic Popup