13 November 2017

CIMB ambil satu peratus untung kasar laksana CSR
Berita Harian, Bisnes

CIMB Group Holdings Bhd memperuntukkan satu peratus daripada keuntungan sebelum cukai kumpulan itu untuk disalurkan kepada Yayasan CIMB bagi melaksanakan inisiatif tanggungjawab social korporat (CSR) di seluruh ASEAN untuk 2018-2020.

Pengerusinya Datuk Seri Nazir Razak, berkata sejak penubuhannya pada 2007, yayasan itu membelanjakan kira-kira RM120 juta sepanjang 10 tahun menerusi 962 inisiatif yang memberi manfaat kepada 700,000 orang.

Ini didorong oleh piagam yayasan bagi mewujudkan impak jangka panjang yang mampan, berdasarkan tiga trafik masuk Pembangunan Masyarakat, sukan dan Pendidikan yang bertujuan untuk memperkasa komuniti yang lebih besar jumlahnya serta mengubah kehidupan.

"Dalam menyambut ulang tahun ke-10 yayasan itu, kami menimbang semula pendekatan kami kepada CSR dengan memasukkan lima teras utama.

"Yang paling penting ialah peningkatan perbelanjaan yang dianggarkan tiga kali lebih tinggi berbanding dari tahun sebelumnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan perayaan ke-10 Yayasan CIMB di Kuala Lumpur, semalam.

Belanja RM75 juta tahun depan
"Untuk tahun ini, kumpulan itu dijangka membelanjakan kiri-kiri RM23 juta dan pada 2018 kumpulan itu dianggarkan membelanjakan Sekitar RM65 hingga RM75 juta berdasarkan komitmen peruntukan baharu bergantung kepada keuntungan kumpulan," katanya.

Nazir berkata, kurang daripada segelintir syarikat korporat di Malaysia membelanjakan lebih daripada satu peratus untuk CSR dan sebahagian besarnya tidak membelanjakan secukupnya, Dan berharap dengan pengumuman CIMB, yang lain juga akan mengikutinya.

"CIMB yakin sektor korporat perlu melakukan lebih banyak CSR, terutama pada era peningkatan ketidaksamaan dan ketidaktentuan yang menjejaskan kehidupan," katanya.

Mengenai sasaran utama lain, Nazir berkata, kumpulan itu juga akan mensosialisasikan beberapa program, terutama berkaitan masyarakat dan Be$MART di Indonesia, Thailand dan Kemboja pada 2018.

"Petugas CIMB kini dibenarkan bercuti bergaji sehingga sebulan untuk menyertai aktiviti CSR Yayasan dan lebih banyak sukan remaja seperti berbasikal akan ditaja tahun depan, mencontohi kejayaan skuasy junior," katanya.

Masukkan prinsip baharu
Beliau juga berkata, CIMB akan memasukkan prinsip baharu yang merangkumi hubungan komuniti pelbagai kaum dan keterangkuman dalam komitmennya untuk memastikan ia menyokong integrasi masyarakat.

Nazir berkata, tindakan itu penting kerana kajian mendapati masyarakat Malaysia yang tinggal bersama kini semakin berkurangan, dan oleh itu sektor swasta perlu memainkan peranannya daripada menyerahkan kepada kerajaan.

Untuk itu, CIMB akan melancarkan program yang dikenali sebagai 'kem Mozek' akhir November di Pasir Gudang Johor, untuk mendidik kanak-kanak mengenai cari hidup dalam masyarakat pelbagai budaya.

Isu dana ekuiti swasta serantau
Sementara itu, mengulas laporan media mengenai rancangannya untuk memulakan dana ekuiti swasta serantau bernilai AS$1 bilion, beliau berkata, sejak persaraannya tiga tahun lalu daripada mengurus CIMB, beliau sedang mengenal pasti peluang untuk dilakukan dalam hidupnya.

Dana itu adalah antara peluang yang dikajinya, namun ia masih pada peringkat awal dan akan mengambil masa.

 
All rights reserved. Copyright © 2017 CIMB Foundation (795634-H).

Follow Us

Ooops!
Generic Popup