Bermula dengan sebuah video pendek, kisah perjalanan sekumpulan atlet paralimpik bola sepak dalam mempertahankan kejuaraan mereka di pentas sukan antarabangsa diangkat ke layar perak. Filem dokumentari Eye on The Ball (EOTB) benar- benar bakal meruntun jiwa penonton di pawagam pada 19 Mac ini apabila banyak babak air mata yang bukan dibuat-buat dipaparkan dalam naskhah itu. Diarahkan sutradara berbakat Chen Yih Wen, EOTB merungkai kisah suka duka pasukan bola sepak cacat penglihatan yang melakar kemenangan di Sukan Para ASEAN 2017 untuk melayakkan diri ke kejohanan bola sepak cacat penglihatan dunia. Penulis percaya EOTB bakal memberi inspirasi kepada penonton mengenai bagaimana sekumpulan anak muda yang cacat penglihatan bertekad untuk menggapai impian menjadi pemain bola sepak profesional tanpa mengambil kira kelainan yang mereka miliki. Ketika tayangan perdana filem dokumentari itu baru-baru ini, penulis melihat sendiri kelibat penonton mengalirkan air mata tatkala menyaksikan perlawanan penting pasukan negara ini untuk mengharumkan nama Malaysia. Memaparkan kepayahan dan cabaran yang terpaksa mereka hadapi sepertitiada padang untuk mereka bermain bakal membuka mata pelbagai pihak sekali gus menjentik emosi kita melihat semangat juang yang sungguh tinggi. Ternyata perjalanan cerita itu diterjemahkan dengan baik. Barangkali pengalaman yang dimiliki pengarah itu yang sudah menerbitkan beberapa dokumentari membuatkan filem ini tidak kelihatan bosan. Penulis juga ingin memuji jurulatih skuad bola sepak itu yang dilihat sentiasa bersemangat dalam membuka ruang kepada komuniti cacat penglihatan di Malaysia. Apa yang lebih mengagumkan, babak yang dicantum dalam filem ini bukan rekaan, sebaliknya kru produksi mengikuti setiap aktiviti dan pergerakan mereka sehingga di bilik tidur. Menyelami kehidupan mereka membuatkan penonton berasa kagum dan sedih dalam satu masa. Penulis berharap dokumentari ini akan dapat membuka mata masyarakat akan keupayaan luar biasa dimiliki komuniti itu. bakal menyaksikan kerjasama antara pasukan kewartawanan penyiasatan R.AGE (Star Media Group), Yayasan CIMB, TGV Pictures Sdn Bhd serta Astro SHAW itu dijadualkan pada 19 Mac ini di pawagam seluruh negara. Dokumentari EyeOn The Ball bakal menampilkan empat watak utama dari skuad Harimau Buta iaitu Asri Arshad, Azwan ‘Kenchot’ Azhar, Rollen Marakim dan jurulatih Sunny Shalesh.