3 March 2017

UPM beli minyak masak terpakai hasilkan biodiesel 
Kosmo, Negara
SERDANG ­ Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil inisiatif menjalankan kempen membeli minyak masak terpakai daripada orang ramai untuk menghasilkan biodiesel.

Bagi tujuan tersebut, universiti itu menyediakan tiga pusat pengumpulan di kampusnya di sini bagi membeli minyak masak terpakai pada harga RM1 seliter. Ketua Jaringan Industri dan Masyarakat UPM, Prof. Dr. Ali Hassan berkata, projek perintis ini melibatkan bantuan kewangan sebanyak RM45.000 daripada Yayasan CIMB.

Menurut beliau, ketika ini, UPM menghasilkan 100 liter biodiesel sehari bagi kegunaan kenderaan dan jentera pertanian di universiti berkenaan.

"Kita berharap projek seumpama ini turut dapat dijalankan di tempat lain di negara ini memandangkan rata­rata rakyat Malaysia membuang minyak masak yang telah digunakan.

"Perbuatan tersebut amat merugikan kerana minyak terpakai boleh dimanfaatkan bagi meluaskan penghasilan biodiesel untuk kegunaan orang ramai," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Biodiesel Daripada Minyak Masak Terpakai di sini semalam.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor UPM, Prof Dr. Ir. Renuganth Varatharajoo.

Dalam pada itu, Pengurus Cawangan CIMB Bank UPM, Zuriati Zakaria berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut dapat mendekatkan pihak CIMB dengan masyarakat awam.

"Penghasilan biodiesel diharap dapat menangani isu kenaikan kos bahan bakar dan mengurangkan pencemaran udara," katanya.
All rights reserved. Copyright © 2017 CIMB Foundation (795634-H).
Ooops!
Generic Popup